Monday, June 7, 2010

Suntikan Vaksin (H1N1) dan Kesan Sampingannya

Berikut adalah Pengalaman Peribadi Posted by KHAIRUL "HAKIMMY" AISYAM Monday, May 10, 2010 at 4:21 PM.

Pagi tadi, saya dan isteri mengambil vaksin selesema babi di Poliklinik Kesihatan Kelana Jaya. Sebelum itu, saya ada membuat panggilan ke beberapa buah klinik berdekatan, namun semua klinik meminta saya membuat janji temu sebelum mengambil suntikan tersebut. Hanya di Poliklinik Kelana Jaya yang memberikan suntikan terus tanpa melalui sesi janji temu. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, kami sampai di klinik tersebut. Saya bertanya kepada petugas di kaunter tentang prosidur untuk mengambil suntikan tersebut. Jururawat itu menyuruh saya mendaftarkan diri di Kaunter 1. Selepas menyerahkan kad pengenalan, nama kami berdua dipanggil. Seperti biasa, kami dikehendaki membayar RM1 ringgit seorang. Selepas itu, petugas di kaunter tersebut menyuruh kami ke bilik khas untuk mengambil suntikan tersebut. Tiada pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil suntikan. Di bilik tersebut, beberapa orang staf dari jabatan kerajaan sedang berbaris untuk menerima suntikan. Seorang demi seorang menerima suntikan tersebut. Saya dan isteri menyerahkan kad pengenalan sekali lagi kepada jururawat di situ. Nama kami didaftarkan. Sejurus selepas itu, nama saya dipanggil untuk menerima suntikan. Sebelum jarum menusuk kulit di bahu kiri saya, terkeluar kata-kata pertanyaan, "Apa kesan sampingan suntikan ini?" Jururawat itu menjawab sambil bertanya, "Encik hendak baca dahulu pamplet tentang kesan sampingannya atau encik hendak ambil suntikan dahulu?". Saya tanpa berfikir panjang berkata, "Suntiklah dahulu!" Memang terasa sakit sedikit semasa jarum menusuk ke dalam bahagian bahu. Berbeza daripada sakit suntikan biasa. Mungkin perasaan saya melebih-lebihkan sakit tersebut. Selepas beberapa ketika, bahagian yang disuntik tadi berdenyut-denyut dan terasa panas sedikit. Selepas sejam, badan mula rasa lenguh-lenguh dan keletihan. Kepala berat dan pening sedikit. Kesan ini berlarutan sehingga beberapa jam. Saya mengambil cuti sakit di sebuah klinik. Badan rasa kurang sihat. Selepas makan tengah hari, kami sekeluarga tidur. Sehingga sekarang, selepas 7 jam menerima suntikan, badan masih lenguh-lenguh dan tempat suntikan masih lagi terasa sengal. Tiada kesan sampingan lain setakat ini. Mudah-mudahan kami berdua tidak mengalami kesan sampingan yang teruk.

Kesan sampingan pengambilan vaksin H1N1 (seperti tertera pada pamplet yang diberikan oleh petugas di Poliklinik Kelana Jaya) :
Sering berlaku
* sakit kepala * keletihan * kesakitan, kemerahan, bengkak atau benjolan pada tapak suntikan * demam * sakit otot, sendi

Kerap berlaku
*rasa panas, gatal atau lebam pada tapak suntikan * berpeluh, menggigil dan gejala selesema * pembengkakan kelenjar di leher, di ketiak, atau di bahagian sulit

Agak jarang-jarang berlaku
* rasa mencucuk/kebas di tangan/di kaki * mengantuk * pening * cirit, muntah, sakit perut * gatal dan ruam * ganguan tidur * gejala kulit seperti inflamasi dan ruam gatal

Jarang-jarang berlaku
* kesan alergi yang menyebabkan penurunan tekanan darah secara mendadak * sawan * rasa menikam yang tajam * pendarahan/lebam serius

Amat jarang-jarang berlaku
* inflamasi pada salur darah yang menyebabkan ruam kulit, sakit sendi, dan masalah buah pinggang * lumpuh .

Saya mungkin berfikir berkali-kali untuk mengambil suntikan tersebut jika membaca pamplet ini terlebih dahulu. Saya juga pernah menyiarkan beberapa artikel tentang kesan sampingan vaksin tersebut dalam blog saya yang lain. Namun, suntikan sudah diambil, harap-harap kami tidak mengalami kesan sampingan yang serius. Doktor di klinik saya mengambil cuti sakit pun ada memberitahu tentang kes orang yang mengalami sawan selepas mengambil suntikan vaksin tersebut. Katanya lagi, mungkin kerana status vaksin itu masih baru dan kesan sampingan yang dinyatakan di atas, maka vaksin ini hanya diberikan kepada orang dewasa yang berumur 18 hingga 65 tahun.

Moga-moga kiriman ini dapat memberikan panduan kepada anda sebelum mmengambil vaksin tersebut. Tepuk dada tanya selera!

Thursday, June 3, 2010

Pak Su...Dalam Kenangan........


Al Fatihah.... Allayarham Abdul Rani bin Mat Kassim telah dilahirkan pada 19 Jun 1964 di Taiping, Perak. Beliau merupakan anak keenam @ bongsu dari 6 adik beradik. Dilahirkan dan dibesarkan di Taiping dan mendapat pendidikan di SMK Simpang, Taiping, Perak. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan 2 orang anak lelaki dan seorang perempuan. Anaknya yang pertama kini berusia 19 tahun, anak keduanya berusia 14 tahun manakala yang bongsu berusia 6 tahun..Allahyarham membesarkan anak2nya hasil titik peluh membanting keringat dalam sektor pembinaan. Beliau telah berkecimpung dalam industri ini semenjak tamat persekolahan.

Sepanjang mengenalinya, Allahyarham adalah seorang yang sangat baik, suka mengusik anak2 buahnya dan merupakan tempat mengadu tidak kira oleh keluarga mahupun kawan2nya. Berkecimpung di dalam arena politik, Allahyarham memegang jawatan Ketua Pemuda PKR Bahagian Bukit Gantang.

Walau bagaimanapun, setelah tiga tahun menahan kesakitan, gastrik ulser yang dihidapnya telah pecah dan pada tanggal 3 Jun 2010, jam 0040, Allahyarham telah kembali ke Rahmatullah
..Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang, Taiping.

Semoga Allahyarham PakSu ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh....Al-Fatihah.....